Friday, October 23, 2020

IJN, FEB 2020

Assalamualaikum.

Saya rindu dengan blog ini, dan atas dasar kerinduan itu, saya harap saya boleh sempurnakan satu post, insyaa allah. Sebenarnya hari ini hari Jumaat waktu makan tengahari. Kawan saya pulak WFH, jadi, mungkin itulah petanda yang Allah bagi untuk menggalakkan saya "update" blog ini.

Post kali ini adalah berkisar mengenai kehidupan kami selepas suami saya keluar daripada hospital Avisena pada bulan September 2019. 

Sebenarnya, setelah keluar daripada Avisena, kami berada di dalam fasa libang libu kerana kami tidak pasti dengan keadaan saluran jantung suami saya. Satu-satunya cara untuk tahu status jantung suami saya adalah dengan membuat angiogram, tetapi Shukri pula adalah agak keberatan/takut. 

Keadaan juga bertambah mencabar kerana "renovasi" rumah telah bermula dan kami terpaksa pindah dan tinggal di homestay.

Punca perasaan libang libu kami itu adalah kerana kurangnya ilmu kami mengenai "the whole process of angiogram". Walaupun kami ada buat "research", ianya tidak seakan tidak memadai. Kami risau sekiranya proses itu adalah menyakitkan/ menyusahkan dan sekiranya akan ada kesan-kesan sampingan. Perkara yang paling kami risau adalah sekiranya tahap tersumbatnya jantung adalah kritikal dan suami perlu membuat pembedahan (bypass). Tapi ye lah, bila takut macam itu, maka kita pun lebih dekat dengan Allah, dan doa pun sentiasa dipanjatkan semoga Allah pelihara kami, memudahkan semua urusan kami dan menjauhkan suami saya daripada perlu melalui operasi pintasan jantung.

Suami saya mengambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan sama ada mahu menjalani operasi angiogram atau tidak. Sebelum keputusan muktamad dibuat, dia telah berusaha untuk melakukan beberapa perkara/rawatan alternatif seperti mengambil jus Lega, makan oat, honey, juga mencuba rawat EECP. Suami juga mahu mencuba ada satu rawatan urutan di Melaka, malangnya tidak berkesempatan.

Walau bagaimanapun, hampir semua rawatan alternatif itu menjadi usaha yang tidak berpanjangan/berpengakhiran (betul ke bahasa saya ni). Makan oat dengan jus lega tu, tahan seminggu aja kut, lepas tu tak boleh masuk dah dalam perut. Ambil honey pun tidak istiqamah. Kami telah pergi untuk mencuba EECP (free trial), tapi kos rawatan adalah agak mahal dan menurut doktor yang merawat Shuk di hospital, tiada bukti saintifik mengenai keberkesanannya. Walau bagaimanapun, melalui rawatan EECP yang kami cuba itu, ada sedikit analisa yang memaklumkan bahawa keadaan jantung suami adalah kurang baik...dan alhamdulillah saya punya adalah agak baik..hah.

Kalau ada sesiapa yang berminat untuk melakukan rawatan EECP, anda boleh mencuba free trial yang di sediakan. Kelihatannya menakutkan, tapi bila di cuba, okay sahaja. EECP ni boleh menguatkan jantung, tapi untuk mereka yang ada masalah tersumbat, isu itu perlulah di atasi terlebih dahulu. 

Cuma sekiranya anda mahu mencuba free trial yang disediakan, saya cadangkan supaya mengelak untuk minum air sejam sebelum rawatan dilakukan kerana pundi kencing seakan rasa di tekan sehingga menyebabkan anda rasa mahu buang air kecil sepanjang waktu rawatan.

Ada gambar sewaktu kami pergi EECP ni dalam bulan Disember 2019.


Sewaktu kami mencuba semua rawatan alternatif yang telah disebutkan, saya juga telah membuat banyak pertanyaan tentang bagaimana mahu membuat rawatan di IJN termasuklah sumbangan majikan keatas kos yang terlibat. Sebenarnya proses siasatan sahaja yang lama kerana segala-galanya adalah mudah setelah dimulai dengan panggilan pertama yang di buat oleh suami saya pada 21 Januari 2020.

  Melalui panggilan tersebut, appointment dengan doktor pakar telah ditetapkan pada 24 Januari 2020 dan seterusnya doktor pakar yang merawat telah menetapkan 11 Februari 2020 untuk suami saya check in di IJN dan menjalani angiogram pada hari berikutnya iaitu pada 12 Februari 2020.

Seterusnya pada 11 Februari 2020 (Selasa), saya telah meminta cuti separuh hari untuk pergi menemankan suami saya ke IJN. Kami terlebih dahulu membuat pendaftaran (check in) di mana proses pembayaran dan penempatan bilik di lakukan.

Selepas itu, suami saya perlu di ambil darahnya. Menurut suami saya, petugas yang mengambil darah pada waktu itu adalah sangat bagus dan ianya adalah proses mengambil darah yang paling senang dan tidak sakit langsung. 

Saya ambil gambar ini dari tempat menunggu di luar (jam 3.22 petang), di mana saya nampak suami saya ceria sahaja berbicara dengan pegawai yang mengambil darah beliau.

Selepas itu, kami telah di masukkan ke dalam satu kumpulan/bilik dan seterusnya telah diberi "briefing" mengenai perkara-perkara penting yang perlu kami tahu sepanjang kami di IJN.

Kami juga telah diserahkan fail ini :


Setelah itu, kami diberitahu nombor bilik dimana kami perlu berkongsi bilik dengan seorang lagi pesakit.

Sepanjang masa kami di ward, suami saya sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan. Doktor/nurse sentiasa keluar masuk ke bilik kerana mereka perlu membuat persediaan untuk operasi angiogram esoknya. Ada bermacam-macam persediaan termasuklah mencukur bahagian2 yang mungkin terlibat dalam operasi angio keesokan hari.

Kami juga telah di maklumkan bahawa operasi ini boleh dilakukan sama ada melalui tangan atau kaki. Daripada maklumat yang kami dapat, proses penjagaan selepas operasi angiogram yang di lakukan melalui tangan adalah lebih mudah jika dibandingkan dengan operasi yang dilakukan di kaki dan oleh kerana itu, kami berdoa semoga suami saya dapat menjalan operasi angio melalui tangan. Aamiin.


Gambar di atas adalah gambar suami menunggu arahan seterusnya daripada petugas IJN sambil menunggu waktu Maghrib masuk.  Saya pulak, lepak sajalah sambil tengok email, main handphone. Saya tidak ingat apa juadah makan malam saya, tetapi suami saya memang dihidangkan makan malam.  Suami saya perlu berpuasa mulai dari jam 10 malam sebagai persediaan.

Malamnya, kami tidur berdua di atas katil hospital. Oleh kerana kurang pengalaman, kami memang tidak membuat persiapan yang cukup sekiranya dibandingkan dengan pasangan yang berkongsi bilik bersama kami di mana mereka telah membawa membawa comforter dan bantal dari rumah supaya mereka boleh tidur/berehat dengan baik. Tapi kami okay aja...tidoq je la kan.

Esok paginya, tepat jam 5.00 pagi, lampu bilik pun terbuka dan doktor/nurse datang. Hebat disiplin/SOP IJN ni. Kami pun bersedialah mandi, solat dan menanti untuk dipanggil.


Kami mendengar rakan sebilik kami telah di suruh bersedia seawal pagi dan memakai suit kuning untuk operasi angio beliau sedangkan suami saya tidak diberi arahan apa-apa sehinggalah jam 12.00 tengahari. Beliau telah diarahkan untuk memakai suit kuning seperti di bawah :

Gambar ini di ambil pada jam 12.30 tengahari. Shuk sudah lapar sungguh waktu ni sebab dia telah mula berpuasa dari jam 10.00 malam semalam.

Akhirnya, lebih kurang jam 1.00 tengahari, Shuk di bawa turun ke dewan operasi. Saya telah menemani beliau sehingga ke pintu masuk "operation room". Sebenarnya sebelum nurse ambil Shuk naik kerusi roda ini, saya memang dah salam awal2 dengan Shuk. Tapi, sewaktu Shuk sudah di alih ke atas katil beroda tu, dan mahu dibawa masuk ke dalam dewan operasi, salah seorang petugas (wanita India) telah bertanya (atau lebih kepada arahan) seperti ini "salam, cium tangan dulu....". Begitulah hebatnya petugas IJN ni, sangat prihatin, sampai perkara sebegitu pun mereka ingatkan.

Sewaktu saya melihat suami saya masuk ke dalam, saya pun tidak pasti perkataan apa yang sesuai untuk membayangkan apa yang saya rasa. Kita gunalah perkataan libang libu semula ye..hiks. 

Tapi sedihlah kan, risau  pun ada dan waktu itu kekuatan kita hanyalah berharap kepada belas ihsan yang maha pencipta. Keluar daripada tempat itu, saya terus pergi mencari surau untuk solat zohor. 

Tapi kan, yang menariknya, bilangan mereka yang beratur menunggu masa untuk melakukan angio adalah sangat ramai. Mereka kelihatan seperti "production line". Oleh kerana mereka memakai jubah kuning itu, mereka juga kelihatan seperti minions, ha ha. 

Saya doakan semua yang membuat angio hari itu akan selamat, dan akan mendapat keputusan yang positif.

Selepas zohor, saya pergi ke bilik menunggu. Saya ada beli something (tak ingat dah) di vending machine kerana saya sudah lapar. Teringat juga kat suami yang masih berpuasa. Saya rasa masa menunggu adalah sangat lama di dalam bilik yang sejuk gedik itu.  Mata saya asyik melihat ke arah screen ini :

Tengok tu, daripada jam 2.00 petang, sehingga jam 3.30 petang, no 417643 tu masih in progress. Yang saya fikirkan waktu ini adalah "what if Shuk's condition is so bad that he needs to undergo the bypass procedure". Fikiran itu sentiasa berlegar dan saya sentiasa berdoa semoga semuanya baik2 belaka.

Jam 4.00 baru ada perubahan status, yup, recovery. Saya tengok pesakit lain tidak menunggu selama suami saya menunggu, itu yang saya rasa pelik sedikit. Rupa-rupanya, saya dimaklumkan bahawa ada sedikit isu yang dihadapi oleh pesakit yang dirawat sebelum suami saya dan oleh kerana itu, suami saya terpaksa menunggu lebih lama.

Akhirnya, pada jam 4.30, 417643 sudah berstatus "Transfer Out", alhamdulillah. Tapi ini memanglah masa menunggu yang paling lama saya rasakan.

Saya pun terus menunggu ke pintu exit, malangnya suami saya tidak kelihatan. Saya mengambil keputusan untuk terus ke ward dan saat saya sampai, saya nampak suami saya sudah tukar pakaian dan berdiri di pintu ward, dengan kain pelikat, mencari saya...waktu ni rasa macam cerita Hindustan betul, ha ha. Dia terus cakap "Cikbib...saya baru nak pergi cari Cikbib"...

Shuk juga mengadu lapar, malangnya makanan tengahari sudah habis dan kami perlu menunggu makanan malam dihidangkan. 

Saya ingat lagi kami berdua duduk di atas katil dan saya bertanya kepada suami saya "apa yang berlaku ni?". Sebenarnya kami telah mendapat berita gembira di mana tahap "blockage" jantung Shuk hanyalah dalam 40%. Tiada balloon/stent diperlukan. Tidak dapat dibayangkan betapa lega/bersyukurnya kami pada waktu itu, Alhamdulillah.

Petangnya, kawan-kawan ofis saya, Zakiah, Jazrina dan Azhana datang melawat. Selepas Maghrib, kami siap pergi berpoya-poya keluar makan lagi...hiks. Malangnya gambar yang di ambil hilang pula daripada simpanan saya.

Bila saya pulang ke IJN dalam jam 10.00 malam, suami saya sudah lena tidur. Nampak penat sungguh dia malam itu.


Saya pun mandi, solat, dan bersiap untuk tidur. Suami saya sempat pula bangun dan mengadu yang tangan yang digunakan untuk operasi angio siang tadi adalah sedikit sakit. Nurse datang dan memberi kami pain killer (paracetamol).

Selepas itu, kami sempat bersembang dan saya terpaksa tidur di atas lantai, bertilamkan sejadah, kerana takut kalau saya terlanggar dan mencederakan tangan suami saya. Saya tidak boleh tidur malam tu, hikkks. Baru lah ada pengalaman tidur atas lantai di hospital kan. 

Esoknya, tepat jam 5.00 pagi, lampu bilik dinyalakan, dan doktor/nurse datang memulakan tugas mereka. Saya ingat lagi doktor China lelaki ini datang dan cakap "Lepas ini jangan datang sini semula, Encik tidak sakit jantung"....alangkah leganya mendengar ayat itu, syukur.

Selepas itu, kami makan, menunggu, ambil ubat, settle kan macam-macam lagi dan kami hanya bersedia untuk check out dalam jam 12.30 tengahari. Kami juga di maklumkan bahawa abang yang tinggal sebilik dengan kami tidak dapat menyempurnakan operasi angio beliau semalam kerana kondisi jantungnya adalah agak teruk dan hampir 100% blocked. Kami terkejut dengan berita itu dan merasa agak bersalah kerana kami semalam agak excited dan bising setelah mendengar berita bahawa keadaan jantuk Shuk adalah okay.

Cerita kami ini sebenarnya adalah "a happy ending story". Sebenarnya banyak masa dan tenaga telah kami habiskan untuk risau, dan sesungguhnya risau itu adalah sia-sia. Walau bagaimanapun, perkara yang baik dengan risau ini adalah kita mendekatkan diri kepada Allah. Solat pun jadi lama sedikit, doa pun adalah lebih panjang.

Setelah menjalani "the whole process", suami saya telah memberi komen seperti ini "Sekiranya perlu buat angio, buatlah, prosesnya tidaklah teruk sangat". Walau bagaimanapun, saya tetap berdoa semoga pengalaman ini tidak perlu berulang lagi, untuk kami, sanak saudara kami, kawan2, juga para pembaca sekalian. Aaamiin.

Saya juga rasa khidmat yang diberikan oleh IJN adalah terbaik. Mereka sangat professional dan semua kerja dijalankan berdasarkan SOP. Keep it up IJN.

Saya pun sudah tidak ingat sangat apa yang kami buat selepas itu, tapi saya lah yang memandu sewaktu kami balik ke Shah Alam kerana Shuk memang tidak dibenarkan memandu selama sebulan.

Oleh kerana rumah kami masih di renovasi, kami pun pulang lah ke homestay kami. 

Itu lah pengakhiran cerita Shuk dan Saya di IJN. Saya letakkan di sini untuk kenangan pada masa hadapan sekiranya saya panjang umur. 

Pada saya pengalaman ini membawa mesej yang kami sudah tua, dan menghampiri ajal. Tapi saya agak sedih sebab dalam saya sedar tentang perkara ini, amal ibadah saya masih di peringkat lama. 

Saya tetap berdoa semoga ada pengakhiran yang baik untuk kita semua. Insyaa allah.

Happy weekend guys.

6 comments:

  1. Hai cikbib... Boleh tau tak berapa rm proses angiogram ni? Tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Majikan saya yang bayar jadi saya tidak pasti dengan harga sebenar. Saya ada approach HR dan saya dinasihatkan untuk ke IJN sebab bayarannya adalah lebih rendah.

      Delete
  2. Alhamdulillah.. perlu amalkan ubat2an hospital tak?

    ReplyDelete