Sunday, June 30, 2019

ABANG HATTA

Assalamualaikum.

Hari ini saya ingin berkongsi satu peristiwa sedih yang telah kami (seluruh keluarga kami) alami baru-baru ini. 

Pada 18 Jun 2019, lebih kurang jam 9.30 malam (bersamaan 15 Syawal 1440), abang ipar yang saya panggil Abang Hatta telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. 

--------------------------------------------------------

Masih segar dalam ingatan saya bagaimana buat pertama kalinya saya berbual dengan Abang Hatta melalui telefon dalam tahun 1983-84. Saya ingat lagi bagaimana seorang lelaki dengan sangat bersopan telah memulakan perbualan seperti ini, "Assalamualaikum, maafkan saya, boleh saya bercakap dengan Fatimah?"...hiks.

Ahaaa...dulu mana ada handphone kalau nak bertenet, maka terpaksalah berkongsi dengan adik beradik lain menggunakan telefon rumah.

Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, Abang Hatta dan kakak saya telah melangsungkan perkahwinan  dan beliau secara rasminya menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Abang Hatta adalah antara menantu kesayangan emak saya, juga abang ipar yang kami hormati/kasihi.

Hubungan saya dengan Abang Hatta dan Kakak menjadi lebih erat apabila saya berkahwin kerana suami saya juga sangat rapat dengan Abang Hatta. Mereka sering datang melawat kami di Shah Alam dan adalah satu kemestian buat kami untuk singgah di rumah mereka di Ipoh sekiranya kami pulang untuk melawat emak di Chemor pada setiap bulan. Yup, di dalam blog ini, saya sering merujuk kepada mereka sebagai Gang Ipoh.

Setiap kali kami singgah di Ipoh, Abang Hatta akan berusaha untuk membawa kami makan ke tempat-tempat yang dia rasa sedap/interesting di Ipoh serta kawasan di sekitarnya. 

Saya ingat lagi di mana pada satu malam, (di dalam tahun 2014 agaknya)  Abang Hatta telah beria-ia untuk membawa kami makan ke tempat baru yang kononnya "hip" di Ipoh. Cuma saya perasan pada malam itu, yang memandu kereta adalah kakak, bukan Abang Hatta. Yup, pada malam itu kami dimaklumkan yang kesihatan Abang Hatta adalah kurang baik dan beliau akan bersara awal. Berita itu adalah permulaan kepada berita-berita sedih yang saya terima mengenai Abang Hatta.

Selain daripada keluar makan, kami juga pernah bersama-sama pergi berjalan ke Langkawi, Johor, Pulau Pinang, Terengganu dan pastinya mereka pernah datang melawat kami di KK. Sebenarnya kami ada banyak lagi perancangan untuk pergi bercuti bersama-sama kononnya selepas Abang Hatta bersara, walau bagaimanapun Allah ada perancangan lain buat kami yang perlu diterima dan di yakini adalah yang terbaik. 

Kami mendengar serta menyaksikan perubahan fizikal pada diri Abang Hatta. Setiap kali saya mendapat berita, ataupun melihat sendiri perubahan fizikal Abang Hatta, pastinya hati saya menjadi sedih, kadang-kadang boleh effect mood saya seharian. 

Tapi Abang Hatta memang berjiwa kental dan sering menjadi lebih sihat dan ceria sekiranya beliau boleh travel. Abang Hatta juga suka makan dan sewaktu dia datang ke KK makanan yang paling disukainya adalah goreng pisang cheese.

Pada saat-saat akhir kehidupannya di mana beliau tidak lagi boleh keluar rumah bersendirian, antara perkara yang menggembirakan Abang Hatta adalah saat di mana dia boleh makan di rumah. 

Kakak saya pernah bercerita dimana dia telah menyediakan Abang Hatta makanan yang dia suka (saya lupa menunya) dan Abang Hatta telah memberi thumbs up untuk menu tersebut dan kepuasan di hati kakak pada waktu itu memang tidak dapat di ukur. Saya yang mendengar pun tumpang puas hati.

Pada bulan Januari baru-baru ini, sewaktu kami balik untuk cuti hari raya China, Abang Hatta telah sekali lagi di masukkan di hospital. Badannya telah susut banyak dan yang paling menyedihkan adalah doktor tidak membenarkan beliau makan. Sewaktu kami pergi melawat, beliau telah meminta untuk diberikan makanan dan bayangkan perasaan kakak saya pada waktu itu. Saya yang mendengar cerita sahaja pun telah berjujuran air mata.

Manisnya peribadi Abang Hatta ini ialah, walaupun beliau tidak boleh makan, beliau tetap mengingatkan kakak saya supaya makan. Abang Hatta juga terus menjadi seorang lelaki yang bersopan sehingga akhir hayatnya. Sewaktu kami melawat beliau, beliau sentiasa memastikan kami selesa, sudah makan dan sebagainya. 

Keperhatinannya kepada orang lain juga tetap berterusan. Pada kali terakhir kami berjumpa dengan Abang Hatta, dia telah bertanya siapa lagi yang balik beraya di Chemor bersama kami dan suami saya telah menjawab "tak de orang lain Abang Hatta, selalunya Abang Hatta lah yang temankan kami". Teruslah drama air mata berlaku.

Pada 29 Disember 2017, iaitu tarikh hari lahir kakak, Abang Hatta telah menghantar message kepada saya untuk mengingatkan saya supaya membuat ucapan hari jadi buat kakak di Group Wassap keluarga. Ahaa...itu adalah side romantik Abang Hatta, dia adalah seorang yang sangat penyayang.

Pada 10 Jun 2019, sewaktu kami dalam perjalanan balik ke Shah Alam setelah beraya di Taiping, kami berhajat untuk singgah dan melawat Abang Hatta sekali lagi, tetapi kakak ada urusan dan tiada di rumah. 

Pada hari Jumaat, 14 Jun, kakak saya telah menghantar message bertanyakan tarikh bila saya akan berangkat semula ke KK. Dia juga telah memaklumkan yang Abang Hatta telah dimasukkan ke ICU kerana jangkitan kuman di paru-parunya yang menyebabkan beliau sukar bernafas. 

Memang terdetik satu perasaan yang saya tidak dapat tafsirkan apabila saya menerima message tersebut lebih-lebih lagi apabila  kakak bertanya tarikh saya balik ke KK. Saya sudah mula menangis selepas itu.

Kami balik ke KK pada 16 Jun dan ianya adalah perjalanan pulang ke KK yang paling pilu buat kami.

Pada 18 Jun, lebih kurang jam 12.30 pm, kami telah dimaklumkan oleh Hazim bahawa atas nasihat doktor, keluarga di Ipoh bersetuju supaya bantuan pernafasan untuk Abang Hatta diberhentikan.

Malam itu (18 Jun 2019), sewaktu saya sedang memasak bubur kacang di dapur, saya telah terdengar suami saya membuat jerita kecil daripada ruang tamu. Hati saya memang rasa lain sikit tapi saya diam sahaja, Beberapa saat selepas itu, suami saya datang ke dapur dan memaklumkan kepada saya "Cikbib, Abang Hatta sudah meninggal".

Sesi menangis saya diteruskan selepas itu.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Oleh kerana kami agak rapat dengan Abang Hatta, maka ada banyak perkara yang akan mengingatkan kami kepada beliau.

Antaranya adalah di mana baru-baru ini saya teringin untuk makan maruku dan menyatakannya kepada suami. Suami saya terus jawab "dulu Abang Hatta yang bagi kita maruku, sekarang tak de lah".

Macam semalam, sewaktu kami ke Metro Jaya dan ternampak baju lelaki jenama "Arrow", terus kami teringat di mana kami selalu suka belikan Abang Hatta baju jenama itu.

Sewaktu kami pergi makan di Shah Alam pun kami teringat Abang Hatta. 

Sewaktu Abang Hatta mula sakit, saya sering mendoakan semoga Allah kurniakan kesembuhan buat dia, semoga ada rezeki untuk dia melihat dunia ini kerana dia suka travel.

Tetapi apabila dia semakin tenat, saya doakan semoga Allah kurniakan yang terbaik buat Abang Hatta, juga kakak, juga anak-anaknya. 

Sesungguhnya jangan kita silap dan menganggap  cabaran ini hanya untuk Abang Hatta sahaja kerana sesungguhnya ianya juga adalah cabaran untuk seluruh keluarga juga orang sekeliling. Mungkin Abang Hatta di cabar dengan kesukaran kerana tidak sihat, tetapi jangan dilupa bahawa ahli keluarganya juga di duga daripada segi lain.

Saya doakan semoga dalam setiap cabaran yang Allah turunkan ada kesenangan/kemanisan buat Abang Hatta, buat kakak dan anak-anaknya. 

Bagi saya, Abang Hatta telah melalui pusingan kehidupan yang sempurna.
Keadaan sakit itu menghapuskan dosa, juga adalah satu proses untuk menyediakan hati supaya redha dengan perpisahan kekal yang bakal dihadapi.

Sewaktu Abang Hatta tidak sihat, ramai kenalan sempat datang melawat untuk berjumpa, bermaafan dan seakan mengucapkan salam perpisahan. Bukankan itu satu proses yang cukup sempurna?

Saya nak share antara gambar Abang Hatta yang ada di dalam simpanan saya : 


The fun side of him, always cheerful. Sewaktu beliau sakit pun, beliau tidak jadi pemarah atau merengus, cuma beliau lebih kerap menangis.

Sewaktu kami di Kundasang, dia suruh Kakak ambil gambar ini untuk di hantar ke Group Wassup Surau beliau.

Abang Hatta dan Shuk

Gambar sorang-sorang, I will miss that smile.

Abg Hatta dengan kakak dan Tiha. Doa saya semoga kakak kuat. 

Saja nak share di sini, ig Ainaa, anak sedara saya

ini pula ig Airi


Ada juga beberapa gambar di sekitar pengebumian yang dihantar untuk tatapan saya di KK.

Ada banyak lagi gambar, tapi mata saya sudah bengkak sangat ni, saya rasa saya perlu berhenti dan mandi. Sekarang sudah hampir jam 9.00 pagi, sudah hampir dua jam saya menulis.

You know we love you Abang Hatta and we are missing you a lot.

 Semoga di ampunkan segala dosa Abang Hatta dan dipermudahkan semua urusan akhirat Abang Hatta. Aamiin.

Friday, June 28, 2019

8 Days To Go

Assalamualaikum.

Hari ini hari Jumaat, 28 Jun 2019.

Saya rasa hati saya sedih lah sekarang ini sebab saya macam tidak larat untuk melakukan kerja-kerja kemas bilik sebagai persiapan untk menyambut Pengarah Baru yang akan datang pada minggu hadapan.

Saya ni tidak lah menangis ke apa, tapi saya rasa macam redup aja, macam tidak ceria, macam lemah. Ahhh...janganlah saya menangis waktu nak berpisah nanti, buat malu je kan. 

Tapi kadang-kadang elok juga kalau boleh menangis dan let go daripada terus redupppp aja ni...hah.

Anyway, kehidupan perlu diteruskan. Saya dan suami sedang struggle sekarang untuk menyempurnakan puasa 6 hari di bulan Syawal. Kami juga sedang berusaha untuk menghabiskan bahan-bahan mentah yang masih ada di rumah manakala bahan-bahan yang kami rasa kami tidak akan gunakan telahpun kami sedekahkan secara perlahan-lahan. I would say that we are almost 90% ready, alhamdulillah.

Selepas barang-barang kami di bungkus untuk di bawa pulang ke Semenanjung, saya dan suami akan tidur di hotel selama 3 malam. Insyaa allah kami akan terbang ke Semenanjung pada 6 Julai 2019.

Rasa suspense untuk kembali ke Semenanjung pun satu hal juga, kih kih kih. Banyak benar yang dirisaukan oleh diri kita ini kan. Yakin sahajalah dengan perancangan Allah wahai diri dan berdoalah semoga semuanya dipermudahkan dan berjalan lancar.

Esok akan menjadi hari minggu terakhir kami di KK dan kami akan memanfaatkannya sebaik mungkin. 

Wokey guys, kita berhenti di sini dahulu dan jumpa lagi di post seterusnya.










Thursday, June 27, 2019

Raya 2019 Yang Penuh Kenangan

Assalamualaikum.

Dalam post yang ini, saya akan berkongsi kenangan aidilfitri tahun 2019 saya bersama suami dan keluarga.

Sesungguhnya aidilfitri tahun 2019 akan menjadi kenangan yang abadi buat saya dan suami. Sebelum saya balik ke Semenanjung, saya ada menyuarakan kepada suami bahawa saya tidak berapa excited untuk raya kali ini. Suami saya tanya kenapa dan saya jawab mungkin sebab emak saya tidak lagi tinggal di kampung.

Yup, mungkin itu adalah salah satu sebab kenapa saya kurang mood, tetapi sesungguhnya "sixth sense" saya sudah merasakan yang sesuatu akan berlaku, cuma saya tidak dapat hadam petanda-petanda yang datang tanpa disedari itu.

Anyway, kehidupan perlu di teruskan, kami telah balik lebih awal iaitu pada 30 Mei 2019 kerana negeri Sabah dapat cuti dua (2) hari pada 30 dan 31 Mei bersempena dengan hari Keamaatan (pesta menuai).

Seperti biasa, kami terus ke rumah kami di Shah Alam, menguruskan beberapa perkara seperti mengambil baju yang ditempah, suami pula ambil insurans kereta, juga beberapa perkara lain. 

Pada 1 Jun (Sabtu), kami menerima jemputan berbuka di rumah Abang saya di Sungai Buaya. Hanya saya, kakak saya Mekyah yang hadir pada hari itu.

Saya pun sudah lupa menu yang dihidangkan pada hari itu, tapi ada ikan bakar, gulai lemak, sambal belacan, kueteow goreng dan Mekyah bawa kek.

Kami...sebelum upacara potong kek

Sebab tiada benda lain nak di tulis atas kek itu, budak-budak itu telah memilih "Congratz Cikbib" sebab saya nak balik Semenanjung kan. Semoga Cikbib sihat dan sentiasa tenang dan rasional dalam menghadapi setiap cabaran yang di datang sama ada di dalam kehidupan ataupun pekerjaan, insyaa allah.

Pada hari Isnin, 3 Jun 2019, kami telah bangun awal dan pergi ke pasar Seksyen 6 untuk membeli barang-barang dapur yang akan di bawa ke kampung. Pada lebih kurang jam 9.30 pagi, kami telah bertolak ke Chemor dan keadaan trafik di lebuhraya adalah lancar.

Sampai di Chemor, kami dapati Abang Hab serta anaknya Aqmal sedang sibuk membersihkan rumah bagi memastikan emak kami dapat tinggal dengan selesa (termasuk kami lah juga). Rumah tinggal memang agak berdebu lebih-lebih lagi sekiranya rumah itu mempunyai banyak lubang di dinding (untuk pengudaraan kononnya) serta terletak di tepi jalan raya yang sibuk. 

Pada hari itu juga satu kejadian telah berlaku di mana sewaktu saya memasak sambal tumis udang petai, tiba-tiba gas telah habis. Haaah....terpaksalah suami saya keluar mencari gas dan untuk menjadikan cerita ini lebih menarik, kereta yang suami saya naiki pula telah rosak dan tidak boleh hidup enjinnya.

Saya dan emak saya menjadi agak risau tentang suami. Saya risau sebab dia belum solat Asar lagi waktu itu dan hari pula hujan...basah pulak la suami aku ni.

Hmmmm....rupa-rupanya, dengan izin Allah, kereta telah rosak di Masjid sebab suami saya memang singgah untuk solat Asar.  Bila di masjid, semuanya menjadi lebih mudah untuk suami sebab ada kedai membaiki kereta berdekatan dan suami juga boleh berbuka di masjid.

Jadinya, pada petang Isnin itu, saya dan emak telah berbuka puasa dengan makan buah pelam harum manis sahaja. Kami hanya makan nasi selepas solat Maghrib sementara suami saya pula hanya makan nasi selepas solat tarawikh.

Pada hari Selasa, kami telah mop rumah satu round dan pergi keliling Chemor untuk mencari lemang. Tahun ini kami tidak dapat membeli lemang daripada pembekal biasa kerana isteri kepada pembekal tersebut (important person who prepares all the ingredients) tidak berapa sihat. Hmmm....lagi satu down.

Dan, pada waktu berbuka puasa di hari terakhir Ramadhan, hanya kami bertiga di kampung....

Sunyi nye lah! Saya rasa emak saya tidak sedih dan dia tetap bersyukur sebab saya dan suami ada dan yang paling penting dia dapat balik rumah dia....saya dapat rasakan itu. 

Tapiiii, saya kesian dekat suami saya. Keluarga suami saya kan tersangat meriah, jadi berbuka puasa pada hari terakhir ramadhan ni memang bukan lah seperti apa yang dia harapkan.

Pada tahun-tahun sebelum ini, sekiranya hanya saya dan Shuk di kampung, abg hatta dan kakak di Ipoh pasti akan datang menemankan kami. Walau bagaimanapun, oleh kerana abg hatta tidak sihat, mana mungkin mereka datang....keadaan kesihatan abg hatta adalah antara sebab kenapa hari raya kami kurang serinya.

Selepas solat isyak, saya telah terus memulakan kerja-kerja memasak ayam masak merah saya, serta menyambil menyediakan pinggan mangkuk yang mungkin perlu untuk hari raya esoknya.

Sewaktu saya sibuk menggoreng ayam, tiba-tiba emak saya minta kepak ayam...jarang sekali emak saya nak buat request istimewa seperti ini, tetapi mungkin sebab pada malam itu tidak ramai rakyat jelata, maka emak saya sempat makan 4 kepak ayam...seronok pulak menengok dia gembira makan.

Suami saya menyibukkan diri nya. Suami saya sedih duduk sorang-sorang sebenarnya dan pastinya kami teringat kepada Abang Hatta pada malam itu...tapi kami pendamkan saja. Saya selesai masak ayam masak merah dalam pukul 1 pagi dan selepas itu, saya terus tidur.

Esoknya kami bangun, boleh relax2 kemas rumah dan tidak perlu berebut bilik air...hah hah hah...dalam setiap kesulitan ada kesenangan. 

Selepas itu, kami pergi ke Masjid Jamek Chemor (atau Bangladesh ni? Ramai orang Bangla dari orang Melayu di Masjid ini). Kami tidak ambil gambar pula.

Tapi Encik Ghaz telah menghantar satu gambar dari Terengganu.

Balik dari Masjid, kami makan, lepak sebentar dan keluar beraya ke Ipoh.

Kami tiada gambar raya yang sempurna pada tahun ini, ini sajalah gambar raya kami bersama pada hari raya pertama.

Seperti biasa, kami pergi melawat abang serta adik-adik emak saya. 

Emak saya bersama dua orang adiknya, seorang perlu manaiki kereta sorong dan seorang lagi perlu bertongkat.

Kena lah letak gambar yang ada tuan tanah kan...haaa....itu baju raya saya, berbunga-bunga pink.

Selepas itu kami pergi ke rumah Angah dan kali ini kami sekali lagi tidak mengambil gambar beramai-ramai.

Selepas itu kami ke rumah kakak. Ini lah satu-satunya gambar, tapi kelabu lah pulak.

Di wassup, keluarga suami sudah share kemeriahan raya mereka...kami tumpang ajalah.

Esoknya, Abg Hab bersama-sama anak, menantu dan cucu telah sampai di Chemor. 3 kereta sekali sampai.
Masuk aja ke rumah, kakak ipar saya terus  bertanya, "ada nasi tak?"...hiks. Memang saya sudah masakkan nasi dan panaskan makanan yang ada, jadi meriahlah meja makan kami.

Ini pula adalah daripada sudut yang berlainan.

Selepas zohor pada hari raya ke 2, kami telah ke Bukit Mertajam untuk menghadiri kenduri tahlil yang memang diadakan pada setiap tahun.

Hah...gambar di ambil daripada camera orang lain.

Menu yang dihidangkan adalah nasi Arab yang sangat sedap. Ada kambing juga, tapi saya tidak berapa makan kambing.  Saya makan nasi Arab, ayam tu dan sos tomato tu...saya mengaku saya makan bertambah, hiksss.

Selepas makan, kami lepak di Bukit Mertajam sehingga jam 9 malam dan tiga (3) dara di atas adalah ibu mertua saya bersama-sama adik-adiknya.

Sebelum saya tidur pada malam hari raya ke dua (2), saya nampak gambar ini di dalam group wassup family, yup, family Abg Hab pula beraya ke Ipoh.

Pada hari raya ke 3, kami (saya dan suami, abg Hab dan keluarga serta Mekyah dan keluarga) telah berkonvoi ke Sungai Petani Kedah. Tujuannya adalah untuk beraya serta melawat Ifwat, anak abang saya yang telah mengalami kecederaan yang agak serius akibat dari kemalangan motor.

Kami sampai di sana dalam jam 12 tengahari, lepak sekejap, solat, makan dan balik ke sangkar masing-masing (saya di Felda Ijok, yang lain balik ke Chemor) dalam jam 4 petang.

Oleh kerana orang Sg Petani dalam kesedihan, kami cuba untuk tidak memberitahu mereka yang kami akan sampai kerana kami tidak mahu mereka bersusah payah menyediakan juadah. Walau bagaimanapun, mereka tetap dapat berita dan telah menyediakan mihun sup. Ye lah, orang nak datang kan, mereka pun buatlah sedikit persediaan.

Buat kami yang datang pula, Kak Lina telah membawa ayam masak merah lebihan juadah raya yang saya masak malam raya tu, dan Abg Hab pula telah membeli daging masak special dari Restoran Pelita. Hah...yang penting selera kan, jadi meriah juga makan, walaupun in between ada air mata yang keluar.

Keadaan Ifwat adalah lebih baik daripada sebelumnya dan kami semua doakan Ifwat akan pulih seperti biasa, insyaa allah. Aamiin.

Sebelum balik, kami pun buat group photo...

Group Lelaki


Group Perempuan

Saya dan suami meneruskan hari raya kami di Felda Ijok. Kami tidak ke mana-mana, hanya lepak di rumah, kemas rumah sikit-sikit, makan, membawang, bercerita, ada yang kelakar, ada yang sedih...

Saya nak kongsi juga gambar anak-anak sedara belah suami saya main bola...

Macam bersungguh-sungguh kan? Saya suka budak-budak ini ada aktiviti  luar yang lebih sihat, selain daripada main game handphone.

Yang ini adalah goalkeeper tengah berehat...hiks.

Pada hari Ahad, rumah di kampung Felda Ijok sudah semakin kosong dan kami telah mengambil keputusan untuk balik juga, tapi kami singgah Taiping bagi mengelakkan traffic jam.

Kami telah tidur di hotel Novotel. Kami telah terlebih dahulu menelefon hotel untuk menempah bilik, walau bagaimanapun kami telah dinasihatkan untuk datang sahaja kerana pada hari Ahad, bilik hotel memang sudah banyak yang kosong.

Sampai di kaunter hotel, saya telah meminta bilik yang mempunyai pemandangan yang cantik, dan memang kami telah di beri bilik yang berpemandangan cantik, cumanya harga bilik pun cantiklah, haaa.


Anyway, kami telah mendapat pemandangan ini dan saya rasa, hotel ini mungkin akan menjadi pilihan pada masa hadapan sekiranya saya merindukan Gunung Kinabalu.

Setelah checked in, kami keluar ke Medan Selera Larut Matang untuk makan.

Kami makan popia

Dan Pasembor yang terrrbaik. Makan di sini memang sedap...jangan lah tengok sangat keadaan sekeliling sebab itu akan menyebabkan kita kurang berselera ...fokus sahaja kepada makanan.

Kami kemudiannya balik ke bilik dan tidur. Kami kemudiannya bangun, mandi, solat dan suami kata jom cari makan lagi..

Di depan hotel Novotel tu, ada medan selera yang jual steamboat. Tapi kami macam sudah tidak larat untuk berebut, jadi kami makan sahaja di shopping center yang terletak di sebelah hotel. Kami pergi ke Secret Recipe aja pun dan order tomyam noodles dan kongsi makan.


Sebelum naik ke bilik selepas makan malam, kami singgah di lobby hotel, lepak. Lepas tu naik dan tidur.

 Saya ingat lagi sewaktu nak tidur tu saya cakap dengan suami, "bestnya katil hotel ni". Suami pun jawab, "ye lah cikbib, kita dah berapa malam tidur di kampung". 

Hee...tidur di kampung kan, rumah pun rumah tinggal, kemudahan pun ala kadar sajalah, asalkan dapat beraya dan berkumpul bersama keluarga, itulah yang lebih penting.

Pagi esoknya, kami bangun dan pergi sarapan.

Makanannya sederhana, kalau mahu makan sedap, sila pergi ke Light Hotel, hah, buffet breakfast nya sangat menarik.

Selepas itu, kami pun check out dan memulakan perjalanan balik ke Shah Alam. Alhamdulillah keadaan jalan adalah lancar walaupun kereta banyak.

Kami juga telah terfikir untuk singgah sekali lagi ke rumah kakak dan abang hatta kerana sejak kami kahwin, memang menjadi amalan kami untuk singgah dahulu di Chemor dan seterusnya akan ada second round raya visit ke rumah kakak/abg hatta. Ianya adalah antara aktiviti yang kami "really looked forward to" kerana visit ini akan lebih santai dan meriah. 

Tapi ye lah, emak saya pun sudah tinggal di Shah Alam dan apabila saya berkomunikasi dengan kakak, dia memaklumkan yang dia ke pejabat Socso kerana perubatan urusan Abg Hatta. Oleh kerana itu, kami telah meneruskan perjalanan ke Shah Alam.

Di Shah Alam, antara aktiviti kami adalah :

i) Ada pulak program pada 11 dan 12 Jun di Kota Kinabalu yang melibatkan Menteri. Makanya, saya adalah sangat sibuk di handphone, dengan kata lain, walaupun cuti, saya tetap bekerja.

ii) Saya demam...
Suami ambil gambar ini sewaktu saya cuba untuk mengeluarkan peluh selepas makan ubat...

iii) Kami pergi beraya ke rumah kakcik
Kak Cik menyediakan cucur udang dan laksa...sedap

iii) Ada sesi outing dengan Mekyah, Emak dan kembar
Kami makan


Dan jalan-jalan

iv) Kami sempat pergi ke Sogo Shah Alam, shopping center yang baru buka di Shah Alam. 

Besar Sogo ni, sesuailah kalau kami mahu menjadikannya tempat untuk kami berjalan kaki untuk mendapatkan 6,000 langkah.

Ada beberapa lot kedai yang telah dijadikan tempat untuk bergambar, ini salah satu darinya..

v) Kami beraya di Cheras pada hari Sabtu, 15 Jun 2019

Kami beraya di rumah Abg Zaki, abang kepada suami saya.


            Pastinya ada sesi membawang 

Ini pula adalah antara juadah yang dihidangkan. Kak Ina, isteri abg Zaki ni orang Sarawak dan dia memang pandai buat kek lapis Sarawak ni.


Gang lelaki makan dan gossip


Group Photo

Kami balik rumah malam itu, kemas juga sikit-sikit.

Esok pagi, 16 Jun, kami bangun awal, berkemas dan pergi makan di Chili merah. Saya makan nasi, pajeri nenas dan ayam goreng...mmm...teringat-ingat...mari share gambar satu



Pada jam 12.00, teksi sudah datang dan kami bertolak ke KLIA. Di KLIA, kami solat, makan dan bergerak ke boarding hall untuk ke KK.

Kali ini, kami memang rasa sangat sayu untuk meninggalkan Semenanjung, walaupun kami akan balik semula for good pada 6 Julai nanti.