Sunday, March 21, 2010

Apa yang saya mahu dalam kehidupan ini?

Saya mengambil keputusan untuk menggunakan bahasa Melayu untuk 'post' kali ini, bahasa Melayu yang betul dan bagus, insya allah.

Saya rasa saya telah agak berubah kebelakangan ini. Perubahannya tidaklah terlampau ketara, tetapi melalui pengalaman dan pengamatan, ada beberapa perkara yang telah bertukar kepentingannya di dalam kehidupan saya sekarang berbanding dahulu.

Sekarang saya sangat mementingkan 'kegembiraan'. Saya mahu gembira. Saya berusaha untuk gembira. Di waktu tertekan, saya akan cuba untuk mengawal diri dan berdoa banyak-banyak supaya tekanan itu dapat di atasi, dan saya boleh terus gembira.

Saya cuba untuk menikmati setiap apa yang saya lakukan. Jika dahulu segalanya dibuat secara tergesa-gesa, saya cuba untuk menjadi lebih tenang dan melakukan setiap apa yang dilakukan dengan selesa.

Mungkin perkara ini agak biasa bagi orang lain, tapi saya kurang dapat melakukannya sebelum ini. Saya diajar supaya menjadi cekap, menepati masa dan berdisiplin. Saya diajar untuk melakukan semua kerja dengan cepat, tanpa membuang masa. Semasa duduk di asrama, emak saya sentiasa berpesan supaya membuat semua kerja dengan cepat, kalau tidak, saya kan ditinggalkan.

Saya masih melakukan apa yang diajar, cuma sekarang, saya lebih memilih. Sebagai contoh, saya merasakan masa mandi adalah masa yang baik untuk mengurangkan 'stress', oleh itu, saya tidak lagi tergesa-gesa untuk mandi dalam masa yang terlampau cepat. Urutan badan (semasa menyabun, dalam bentuk bulatan) adalah bagus untuk perjalanan darah, dan baik untuk kesihatan, jadi, sekiranya tiada apa-apa komitmen lain, saya akan menikmati masa mandi.

Saya juga cuba mengurangkan 'stress' untuk sentiasa terlampau berdisiplin/menghormati waktu. Walaupun disiplin ini masih saya pegang sewaktu di tempat kerja, saya cuba mengurangkannya pada waktu-waktu yang tidak begitu memerlukan. Saya penat dengan kehidupan yang penuh dengan disiplin.

Saya dapati sebelum ini saya kurang memahami 'kemanusiaan'. Saya macam askar yang merasakan segalanya perlu dilakukan dengan cara 'saya'. Saya percaya cara saya adalah cara yang terbaik...tapi sekarang, saya rasa, saya penat. Saya lebih mengikut arus, belajar memahami, belajar gembira dengan cara orang lain sekali-sekala, saya dapati lebih selesa dengan cara itu.

Saya hanya mahu gembira. Saya mahu kehidupan saya diberkati Allah dan sentiasa di dalam petunjuknya. Saya mahu melakukan semua kerja yang diamanahkan dengan baik, dan bersungguh-sungguh, dan saya juga ingin melakukan kerja saya dengan kasih sayang. Saya mahu kepuasan daripada kerja yang dilakukan.

Selepas kerja, saya mahu pulang ke rumah dengan hati yang tenang. Saya mahu menikmati setiap saat di rumah, bersama keluarga, dengan gembira. Saya mahu melihat pokok-pokok saya membesar subur, rumah saya kemas dan suami saya selesa.

Saya cuba untuk meluangkan lebih masa untuk keluarga dan melakukan aktiviti yang menarik bersama.

Saya rasa, saya cuma mahu kehidupan yang sederhana, dan diredhai Allah, mampukah saya mendapatkannya?..






1 comment:

  1. lain kali cikbib buat posting dlm english lah ye,,, bahasa cik bib okay,, cuma kurang bebunga bunga,,he,he,,

    ReplyDelete